|
1. Adakah UNIMEL sebuah IPTA atau IPTS? |
| UNIMEL adalah sebuah IPTS yang ditubuhkan pada Disember 1992 dan keputusan itu telah dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka pada 9 Disember 1992 dan disahkan pada 30 Disember 1992. |
2. Siapakah pemilik UNIMEL? |
| UNIMEL adalah milik penuh Kerajaan Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh dan YB. Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam adalah sebagai Canselor UNIMEL dan Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly sebagai Naib Canselor UNIMEL. |
3. UNIMEL terletak di mana? |
| UNIMEL terletak di pekan Kuala Sg. Baru di mana lokasinya adalah lebih kurang 40 km di selatan pantai peranginan Port Dickson dan lebih kurang 40 km ke utara dari Bandaraya Melaka. |
4. Siapakah yang layak mendapat pinjaman/biasiswa di UNIMEL? |
| Semua mahasiswa bertaraf Warganegara Malaysia yang belajar di UNIMEL adalah layak membuat permohonan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Manakala, mahasiswa yang lahir di Melaka dan ibu atau bapa pemohon yang lahir di Melaka dan menetap di Melaka, layak memohon pinjaman dari Pinjaman Wang Pengajian Tinggi TAPEM. |
5. Adakah UNIMEL mempunyai kemudahan asrama? |
| UNIMEL mempunyai lapan blok asrama yang mampu untuk menampung keseluruhan mahasiswa yang mendaftar di UNIMEL. Setiap mahasiswa yang mendaftar di UNIMEL adalah digalakkan untuk tinggal di asrama. |
6. Apakah kemudahan asas yang disediakan oleh UNIMEL? |
| Di UNIMEL kami menyediakan kemudahan prasarana yang sesuai sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta. Kami menyediakan kemudahan asas seperti kompleks kediaman pelajar, perpustakaan, pusat kesihatan pelajar, pusat kegiatan mahasiswa, dewan dan bilik-bilik kuliah, makmal komputer, makmal kejururawatan, kafeteria dan kemudahan sukan dan rekreasi. Layarilah web kami bagi mendapatkan maklumat tentang prasarana tersebut. |
7. Apakah kursus-kursus yang ditawarkan oleh UNIMEL? |
| UNIMEL kini menawarkan kursus-kursus di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Jenis-jenis kursus yang ditawarkan ada disenaraikan di menu Informasi Mahasiswa. |
8. Adakah program – program yang ditawarkan mendapat pengiktirafan MQA? |
| Semua program yang dijalankan di UNIMEL telah mendapat pengiktirafan dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). |
9. Apakah kelayakan minimum untuk masuk ke UNIMEL? |
| Kelayakan minimum untuk melanjutkan pengajian di UNIMEL adalah 3 kredit iaitu kredit dalam Bahasa Malaysia dan 2 lagi bergantung pada kursus yang dipohon kecuali bagi Diploma Kejururawatan yang memerlukan 5 kredit. Manakala bagi Ijazah Sarjana Muda pula iaitu sekurang-kurangnya CGPA 2.00 di dalam STPM atau Diploma atau Matrikulasi. |
10. Apakah matlamat UNIMEL dalam mendidik para mahasiswa? |
| UNIMEL ditubuhkan bagi melaksanakan usaha pendidikan dan pengembangan jalinan ilmu duniawi dan ukhrawi, latihan dan kemahiran berteknologi serta penyelidikan dan pembangunan sumber insan berwadahkan Islam. |
11. Bagaimana UNIMEL menguruskan semua hal-hal mahasiswa? |
| Secara amnya semua hal ehwal mahasiswa diuruskan oleh Unit Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEM). Bahagian pengambilan pelajar pula diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), termasuk menyediakan Kad Mahasiswa, hal-hal permohonan, berhenti, tangguh pengajian, pertukaran kursus. |






