ANALISIS KEPERLUAN PEMBANGUNAN MODUL BAHASA ARAB UNTUK PROGRAM LALUAN PANTAS (FAST TRACK)
Abstract
Kajian ini dijalankan bagi meneliti keperluan pembangunan modul khusus Bahasa Arab untuk pelajar program laluan pantas (Fast Track SPM) yang berhadapan dengan cabaran kognitif kerana perlu menguasai dua set kandungan serentak (Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima) dalam tempoh singkat sekitar 10 hingga 11 bulan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar ini berasal daripada latar belakang sekolah tahfiz tanpa pendedahan formal terhadap matapelajaran Bahasa Arab, sekali gus menambahkan keperluan terhadap intervensi pedagogi yang bersesuaian. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti tahap keperluan pelajar terhadap pembangunan modul pembelajaran Bahasa Arab yang bersifat praktikal, mudah difahami, serta menyokong penguasaan kosa kata, tatabahasa dan kemahiran komunikasi. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk tinjauan terhadap 251 orang responden daripada lima institusi yang menawarkan program Fast Track SPM. Pemilihan sampel dilakukan secara persampelan bertujuan manakala soal selidik digunakan sebagai instrumen. Data dianalisis secara deskriptif dengan kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai. Pembangunan modul ini berpandukan Model ADDIE, namun perbincangan artikel difokuskan pada fasa analisis keperluan. Dapatan menunjukkan tahap keperluan yang sangat tinggi terhadap pembangunan modul Bahasa Arab, dengan 96.0% responden (241 orang) mengesahkan kepentingan modul yang ringkas, padat dan efektif, khususnya dari aspek panduan penulisan, penguasaan kosa kata dan penjelasan jawapan yang menyeluruh. Kajian ini menyimpulkan bahawa pembangunan modul khusus bukan sahaja dapat menjadi intervensi pedagogi signifikan untuk membantu pelajar laluan pantas menguasai Bahasa Arab dalam jangka masa terhad, bahkan berpotensi dijadikan model rujukan bagi pembangunan modul bahasa untuk kelompok pelajar lain yang mempunyai latar belakang khas, sekali gus mengisi jurang dalam literatur sedia ada.
Keywords
bahasa Arab; program laluan pantas SPM; modul pengajaran dan pembelajaran; analisis keperluan; intervensi pedagogi; model ADDIE; pelajar tahfiz
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
Copyright (c) 2025 Jurnal 'Ulwan
This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.




