KEPELBAGAIAN PENGAJARAN GURU PRASEKOLAH BAGI MENCAPAI STRATEGI PENGAJARAN: SATU KAJIAN KES DI NEGERI PERAK DAN SELANGOR
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengetahui keberkesanan pengajaran yang dapat membantu pengajaran guru prasekolah semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Kajian kes ini dijalankan di empat buah prasekolah yang terpilih iaitu dua buah prasekolah di Perak dan dua buah prasekolah di Selangor. Peserta kajian adalah seramai empat orang guru prasekolah yang telah dipilih melalui teknik persampelan bertujuan. Kajian ini telah menggunakan reka bentuk kajian kes yang dijalankan di dua buah negeri dengan menggunakan analisis tematik. Instrumen kajian yang digunakan terdiri daripada protokol temubual dan borang pemerhatian yang telah mendapat kesahan pakar daripada pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Teori yang digunakan dalam kajian ini adalah teori Robert Glazer iaitu memfokuskan tentang pengetahuan sedia ada guru sebelum sesi pengajaran dijalankan serta memfokuskan tentang kaedah atau aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran. Dapatan temubual menunjukkan terdapat beberapa tema yang muncul iaitu pengetahuan guru sebelum menjalankan sesi pengajaran adalah sangat membantu ketika sesi pembelajaran. Ini disebabkan pengetahuan guru dalam merancang aktiviti adalah sangat penting bagi membantu melaksanakan sesi pengajaran yang menarik. Selain itu, bahan pengajaran yang bersesuaian dengan kanak-kanak mengikut tahap umur dapat menarik minat mereka untuk lebih memahami isi pengajaran guru dan sekaligus dapat mencapai objektif pembelajaran. Dapatan pemerhatian pula menunjukkan perancangan aktiviti yang bertepatan dengan isi pembelajaran juga mampu memberi kesan yang positif terhadap pengajaran guru dan mampu memberi kesan kepada pemikiran kanak-kanak. Sebagai guru yang kreatif, kepelbagaian kaedah pembelajaran mampu menjadikan pengajaran guru menjadi lebih tersusun dan mudah difahami oleh kanak-kanak. Kesimpulannya, dapatan utama kajian adalah menunjukkan pengetahuan guru dalam memahami isi pengajaran dan merancang aktiviti mampu menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih terancang dan tersusun untuk membantu pemahaman kanak-kanak. Implikasi kajian ini mampu dijadikan panduan kepada guru agar sentiasa bersikap lebih sistematik dalam merancang dan mengendalikan cara pengajaran agar segala penyampaian guru pada hari berikutnya dapat diterima dan dijadikan pengalaman dalam kehidupan kanak-kanak.
Keywords
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.