Sebagai usaha untuk penjenamaan semula, maka KUIM telah meletakkan niche-areanya dalam bidang psikologi di mana Ia merupakan kolej universiti Islam swasta yang pertama di Malaysia yang membangunkan pengajian yang memfokuskan bidang psikologi di peringkat ijazah sebagai intervensi mengurangkan permasalahan psikologi dikalangan individu dan komuniti di samping memenuhi permintaan tenaga kerja di pelbagai sektor awam dan swasta. Selaras dengan itu, KUIM terus menggorak langkah sebagai “Gerbang Pengajian Psikologi Insan” yang terus bersandarkan misi dan visi yang jelas bagi mendepani pelbagai cabaran dan perubahan. Falsafah pengajian yang menggabungkan unsur-unsur keimanan, akademik dan vokasional (duniawi dan ukhrawi) bagi melahirkan golongan yang bertaqwa dan progresif serta amat bertepatan dengan hasrat dan matlamat Kerajaan Negeri Melaka yang mahukan generasi berpengetahuan dan berkebolehan dalam pelbagai bidang pengajian Islam, teknologi, sains sosial dan ilmu terkini di samping memiliki daya ketahanan tinggi bagi menangani cabaran semasa. Dalam usaha memastikan KUIM terus cemerlang seiring dengan Motto yang dibawa “Kualiti Teras Kejayaan” maka program-program yang ditawarkan merentasi pelbagai disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, undang-undang syariah, kejururawatan, bioteknologi dan teknologi maklumat adalah berdaya saing dan kompetitif yang memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Pengantarabangsaan KUIM melalui jaringan akademik dalam dan luar negara boleh dibanggakan apabila KUIM kini memiliki pelajar antarabangsa dari Kemboja, Sri Lanka, Singapura dan Indonesia yang bertambah dari tahun ke tahun. Malah penghantaran pelajar-pelajar KUIM yang melanjutkan pengajian ke Mesir, Jordon, Morocco dan lain-lain negara di Timur Tengah sangat menggalakkan. Dengan prestasi dan pencapaian KUIM yang sangat membanggakan, KUIM bertekad dan terus komited untuk menjadi sebuah pusat pengajian tinggi bertaraf antarabangsa Islam, sains dan teknologi.