PERBANDINGAN ADAB PEMERINTAH DALAM TAJ US SALATIN (MAHKOTA RAJA-RAJA) DENGAN HIKAYAT ISKANDAR ZULKARNAIN

Siti Nor Harmiza Ibrahim, Rahimah Hamdan

Abstract


Kertas kerja ini bertujuan untuk menghuraikan adab raja-raja Melayu seperti yang termaktub dalam karya Taj Us Salatin (Mahkota Raja-Raja) dan membandingkannya dengan adab raja dan pahlawan tersohor kesusasteraan Melayu tradisional iaitu Hikayat Iskandar Zulkarnain. Sebagai sebuah karya kesusasteraan ketatanegaraan yang tersohor,  Taj Us Salatin (Mahkota Raja-Raja) yang dikarang oleh Bukhari Al-Jauhari merupakan panduan pemerintahan kepada raja-raja di Alam Melayu bermula sejak Sultan Alauddin Riayat Shah di Acheh pada abad ke-17 sehinggalah  ke zaman Sultan Hussein Syah  dari Kesultanan Johor-Singapura pada abad ke-19 Masihi. Ini bermakna segala tatacara pemerintahan dimuatkan secara komprehensif oleh pengarang Bukhari Al-Jauhari di dalam Taj Us Salatin (Mahkota Raja-Raja). Rentetan itu, seorang tokoh yang tersohor namanya sebagai raja dan pahlawan ulung iaitu Iskandar Zulkarnain sering ditemui sebagai pemula jurai keturunan kesultanan raja-raja Melayu sebagaimana yang tercatat dalam karya-karya historiografi. Maka, kehadiran tokoh ini sering dipandang tinggi dan mulia dalam kebanyakan hasil karya kesusasteraan malah dikenali sebagai manifestasi yang mampu mengabsahkan kedaulatan sesebuah dinasti raja di Alam Melayu. Persoalannya, adakah panduan kepada pemerintah yang tercatat dalam Taj Us Salatin seiring dengan tatacara raja dan pahlawan dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain? Justeru, dengan menggunakan metod analisis teks terhadap kitab Taj Us Salatin (Mahkota Raja-Raja) dan Hikayat Iskandar Zulkarnain, kertas kerja ini membandingkan hubungan dan kaitan dalam pencirian adab pemerintah antara dua teks tersebut. Sumbangan kajian ini penting terutama dalam mengangkat sumbangan Taj Us Salatin (Mahkota Raja-Raja) sebagai genre sastera ketatanegaraan yang tinggi nilai ilmunya serta Iskandar Zulkarnain sebagai tokoh pemerintah dan pahlawan tersohor dalam masyarakat Melayu. Rumusannya, adab seseorang pemerintah dapat mencerminkan keutuhan dan keamanan sesebuah negara kota sehingga elemen ini diberi penekanan secara serius dalam kebanyakan genre kesusasteraan Melayu tradisional.


Keywords


Adab, masyarakat Melayu tradisional, Taj Us Salatin, Iskandar Zulkarnain, Hikayat Iskandar Zulkarnain

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.