PENGARUH PENGUASAAN PENGETAHUAN, PEDAGOGI DAN ISI KANDUNGAN GURU TERHADAP KEMEROSOTAN SKOR MATEMATIK TIMSS DI MELAKA

Suhaila binti Ishak, Mohd Yusof bin Abdullah, Faridah Hanim binti Ishak

Abstract


Penyelidikan ini bertujuan untuk mengkaji dan mengenal pasti pengaruh penguasaan pengetahuan, pedagogi dan isi kandungan guru terhadap kemerosotan skor Matematik TIMSS di Melaka. Kajian ini turut membincangkan isu dan kekangan dalam bidang pendidikan dengan memberi tumpuan khusus kepada permasalahan daripada aspek penguasaan PPIK guru yang merupakan antara faktor penyumbang kepada kemerosotan skor Matematik TIMSS. Reka bentuk kajian ialah kuantitatif bukan eksperimen dengan menggunakan soal selidik bagi menjawab objektif kajian. Satu set borang soal selidik yang telah dibuat penambahbaikan daripada kajian lampau digunakan. Bilangan responden seramai 140 orang guru matematik tingkatan satu dan tingkatan dua di 11 buah sekolah yang terlibat dengan TIMSS di negeri Melaka dipilih berdasarkan jadual Krejcie dan Morgan (1970).  Data yang diperoleh dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Science Social (SPSS). Analisis statistik inferens iaitu ujian-t, ujian ANOVA sehala, ujian Korelasi Pearson dan ujian Analisis Regresi Berganda digunakan untuk menguji hipotesis nul pada aras signifikan p<.05. Data yang diperoleh adalah berdasarkan kekerapan tahap persetujuan responden yang diukur menggunakan skala Likert dengan 5 mata poin. Hasil analisis mendapati terdapat hubungan yang positif dan signifikan antara variabel yang terlibat. Kebolehpercayaan instrumen penguasaan pengetahuan guru bernilai ?=.958 dan instrumen penguasaan pedagogi guru ialah ?=.942. Seterusnya nilai kebolehpercayaan instrumen penguasaan isi kandungan guru ialah ?=.944 manakala kemerosotan skor Matematik TIMSS ialah ?=.953. Hasil analisis soal selidik mendapati terdapat hubungan positif yang signifikan antara penguasaan PPIK dengan kemerosotan skor Matematik TIMSS (r=.392, p<.05). Analisis regresi berganda juga turut menunjukkan terdapatnya pengaruh variabel bebas terhadap variabel bersandar yang difokuskan. Kajian mendapati penguasaan pedagogi (?=.326, p<.05) menyumbang pengaruh yang dominan berbanding dengan penguasaan isi kandungan guru (?=.196, p<.05) terhadap kemerosotan skor Matematik TIMSS. Seterusnya, melalui analisis regresi berganda demi langkah pula mendapati penguasaan pengetahuan guru merupakan faktor dominan terhadap kemerosotan skor Matematik TIMSS (?=.357, p<.05) berbanding penguasaan pedagogi sebanyak ?=.308, p<.05, diikuti penguasaan isi kandungan guru (?=.192, p<.05). Maka, dengan ini jelas membuktikan bahawa peningkatan penguasaan PPIK guru Matematik perlu diberi perhatian penting oleh pihak berkenaan dalam usaha meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran Matematik khususnya. Secara keseluruhannya, dapatan ini amat bertepatan dan menyokong kerangka kajian yang digunakan.

 


Keywords


Pengaruh, Penguasaan Pengetahuan, Penguasaan Pedagogi, Pengetahuan Isi Kandungan, Kemerosotan Skor Matematik TIMSS.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.