TAHAP PENGETAHUAN KOSMETIK HALAL DALAM KALANGAN PELAJAR PASCASISWAZAH DI UNIVERSITI MALAYA

Nur Ilma Ambo, Ana Shakirah Md Sapir

Abstract


Permintaan terhadap produk kosmetik halal dalam kalangan pengguna Muslim semakin meningkat dari hari ke hari kerana mereka perlu tampil segar dan menarik ketika bertugas atau bersosial di luar rumah. Tujuan kertas penyelidikan ini ialah untuk mengkaji tahap pengetahuan kosmetik halal dengan mengadaptasikan kerangka literasi kewangan yang diperkenalkan oleh OECD dalam menilai hubungan antara faktor-faktor demografik pelajar pascasiswazah beragama Islam yang mengikuti pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah bagi sesi 2019 / 2020 seperti jantina, umur, latar belakang pengajian, penaja pendidikan dan taraf perkahwinan. Soal selidik dijalankan menggunakan teknik ‘Convenience Sampling’ secara atas talian kepada semua mahasiswa yang sedang menuntut ilmu di 14 fakulti dan dua akademi pengajian di Universiti Malaya. Hasilnya, daripada 300 soal selidik yang berjaya dikumpulkan, hanya 106 data yang sah dan dapat digunakan untuk analisa seterusnya. Kajian ini menggunakan kaedah silang tabulasi untuk mendedahkan corak dan trend pelajar pascasiswazah serta pengetahuan kosmetik halal, menggunakan ‘Mann-Whitney Test’ dan ‘Kruskal-Wallis Test’ untuk menguji hipotesis kajian. Ujian kolerasi pula dilaksanakan bagi mengenalpasti faktor demografik yang mempunyai hubungkait dengan pengetahuan kosmetik halal. Silang tabulasi berjaya mendedahkan corak atau trend pelajar pascasiswazah yang berusia 26-30 tahun dan masih bujang yang paling ketara mendapat skor pengetahuan kosmetik halal yang tinggi. Ia dilihat seiring dengan laporan pengkaji lepas yang mengatakan bahawa kelompok usia 27 tahun memiliki kuasa memilih dan membeli produk kosmetik yang mereka sukai. Tetapi ujian hipotesis menunjukkan sebaliknya, apabila dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar pascasiswazah lelaki, yang berlatarbelakangkan pengajian Islam dan sudah berumahtangga yang lebih memiliki tahap pengetahuan kosmetik halal yang tinggi. Manakala, ujian kolerasi menunjukkan kekuatan kolerasi yang lemah antara faktor demografik dan pengetahuan kosmetik halal, tapi umur dan taraf perkahwinan menunjukkan arah positif dengan nilai signifikan <0.05. Latar belakang pengajian pelajar pascasiswazah menunjukkan arah negatif memberi isyarat bahawa pelajar pascasiswazah yang berlatarbelakangkan pengajian Islam dari Timur Tengah menguasai pengetahuan kosmetik halal. Secara keseluruhan, limitasi kajian berlingkar dalam menerangkan ralat dalam merekabentuk instrumen kajian dan ralat pensampelan yang sepatutnya menggunakan ‘Purposive Sampling’. Namun begitu, kajian ini dapat menyediakan informasi berguna tentang bagaimana kerangka literasi kewangan OECD dapat diadaptasikan dalam kajian kosmetik halal. Perkaitan antara kedua-duanya ialah pembelian dan penggunaan kosmetik halal juga melibatkan wang pengguna. Sekiranya pengguna produk kosmetik halal terdiri daripada mereka yang tergolong dalam kumpulan yang amat terdedah dengan risiko kesempitan wang, maka pembelian kosmetik halal dianggap satu bentuk pembaziran. Kajian ini juga berjaya mendedahkan corak pemahaman dan pengamalan pelajar pascasiswazah yang berlatarbelakangkan pengajian dari Timur Tengah di mana rata-rata mereka lebih gemar mengamalkan produk kosmetik yang pernah digunakan oleh Rasulullah S.A.W. dalam penjagaan dan perapian diri.

Keywords


Malaysia; universiti; pascasiswazah; pengetahuan; kosmetik halal; literasi kewangan; OECD

Full Text:

PDF


Copyright (c) 2021 Jurnal ILMI

This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.