KESAN MODUL MOTIVATIONAL INTERVIEWING BERASASKAN COGNITIVE BEHAVIOUR THERAPY TERHADAP DAYA TINDAK MURID SEKOLAH MENENGAH
Abstract
Kajian eksperimen ini bertujuan untuk mengukur kesan rawatan modul dengan menggunakan pendekatan integrasi Motivational Interviewing berasaskan Cognitive Behaviour Therapy dalam meningkatkan daya tindak dalam kalangan murid tingkatan empat di dua buah sekolah menengah daerah Klang, Selangor. Modul kajian ini dibina sebanyak 10 sesi dan 20 aktiviti bimbingan kelompok telah dijalankan secara mingguan. Soal selidik yang digunakan mengandungi maklumat peribadi dan soal selidik kajian menjurus kepada konstruk kajian seperti Soal Selidik Brief Cope yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Yusoff Saiful (2011). Kajian ekperimen tulen ini melibatkan seramai 99 subjek dipilih memasuki dua jenis kumpulan rawatan iaitu Kumpulan Bimbingan Kelompok Besar (KBB) serta Kelompok bimbingan kecil (KBK) dan satu kumpulan kawalan (KK). Subjek kajian berumur 16 tahun dan merupakan murid sekolah menengah harian biasa. Subjek rawatan KBK ialah 33 orang pelajar yang dibahagikan kepada tiga kelompok kecil (R1a=11, R1b=11 dan R1c=11), manakala KBB seramai 33 orang murid dalam satu kelompok besar (R2=33) dan satu kelompok kawalan (KK=33). Data kajian dianalisis menggunakan analisis deskriptif, ANOVA, ANCOVA, MANCOVA dan Post Hoc jenis Tukey pada aras signifikan 0.01 dan 0.05. Dapatan kajian mendapati rawatan KBK lebih berkesan dalam meningkatkan pemboleh ubah bersandar daya tindak dengan perbezaan min ujian pra dan pasca iaitu 2.8 manakala kumpulan kawalan pula tidak menunjukkan sebarang perubahan. Secara keseluruhan, skor (p<0.05), secara signifikan menunjukkan Modul MI-CBT berkesan dalam meningkatkan strategi daya tindak dan menurunkan kadar penglibatan murid terhadap tingkah laku langsang. Item berkaitan integrasi MI-CBT juga turut meningkat secara signifikan. Kajian ini juga mendapati pengaruh jantina dan pendapatan isi rumah tidak memberi kesan terhadap rawatan. Implikasi melalui kajian ini membuktikan bahawa intervensi dan aktiviti yang sesuai akan menyebabkan berlaku peningkatan daya tindak (DT) murid. Dicadangkan kajian seterusnya, dengan membina modul pencegahan yang berperanan meningkatkan perubahan tingkahlaku terhadap aspek psikologi bagi membantu kaunselor mengaplikasikan ilmu kaunseling kepada semua.
Keywords
Motivational Interviewing, Cognitive Behaviour Therapy, Brief Cope, Modul dan Daya Tindak.
Full Text:
PDFCopyright (c) 2025 Jurnal ILMI
This is an Open Access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International (CC BY-NC-ND 4.0), permitting copy and redistribute the material in any medium or format.